Sejarah BMS

Beaufort Middle School adalah sebuah sekolah menengah persendirian Cina yang terletak di daerah Beaufort. Sekolah ini adalah satu-satunya sekolah menengah Cina  yang  terdapat di daerah ini. Kedudukannya terletak 3.5 km dari pecan Beaufort  iaitu bertentangan dengan Wisma Persekutuan.


Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1966 dengan objektif  untuk menyediakan pendidikan kepada masyarakat daerah Beaufort khususnya masyarakat Cina di samping  mengekalkan kebudayaan kaum Cina. Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya menumpang di sebuah bangunan. Namun, pada tahun 1967, seorang yang budiman telah mendermakan  tanah seluas  lima ekar untuk membina  bangunan  sekolah. Bangunan kayu dua tingkat itu akhirnya siap dibina pada tahun 1968 dan kekal sehingga hari ini. Bangunan tersebut menempatkan enam bilik darjah iaitu untuk kelas Junior Satu hingga Senior Tiga.
Pada tahun 1990, satu blok bangunan konkrit pula telah siap dibina. Kos bangunan tersebut telah dibiayai oleh kerajaan sebanyak RM400 000.  Dengan adanya bangunan baharu itu makmal komputer, perpustakaan dan bilik muzik dapat disediakan. Bilik guru dan bilik pengetua juga ditempatkan di bangunan tersebut.


Walaupun sekolah ini hanyalah sebuah sekolah yang kecil, namun sumbangannya  amatlah besar kerana telah banyak membantu untuk melahirkan golongan  professional seperti doctor pakar kanser, doctor falsafah, akauntan, guru ,usahawan dan peniaga yang berjaya. Selain itu banyak pelajar sekolah ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS sama  ada di dalam negeri atau luar  negara seperti Taiwan dan China.


Sekolah ini juga adalah satu-satunya sekolah di daerah ini yang mempunyai pasukan pancaragam (Consert Band)  dan Kelab Tarian yang amat aktif. Pasukan pancaragam dan penari sekolah ini sering diundang untuk mengadakan persembahan bukan sahaja di Beaufort tetapi juga di daerah lain seperti Kota Kinabalu, Tenom  dan Sipitang. Kedua-dua pasukan ini turut memberi sumbangan semasa Pesta Bagandang Beaufort pada tahun 2010.


Sejak  tahun 2007, Lembaga Pengelola Sekolah telah memulakan usaha untuk mengumpul dana untuk membina bangunan sekolah yang baharu. Kesedaran ini timbul apabila  bangunan sekolah yang lama semakin uzur dan seringkali dilanda banjir pada musim tengkujuh. Selain itu keperluan pendidikan masa kini semakin mencabar dan satu pembaharuan wajar dilakukan. Untuk melaksanakan pembaharuan itu, bangunan baharu yang lengkap diperlukan . Pihak kerajaan, orang perseorangan dan masyarakat Beaufort banyak memberikan sumbangan untuk membina bangunan baharu ini, namun dana yang dikumpul belum dapat menampung kos pembinaan yang semakin meningkat.


Dengan terbinanya bangunan baharu dan serba lengkap itu nanti, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, pembinaan dewan sekolah juga akan melancarkan aktiviti kokurikulum di sekolah ini. Hal ini amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berketrampilan bagi membolehkan kita berdaya saing.